Pulau Perhentian: Anugerah Teragung dari Allah SWT
Tanggal 17 September 2022 menjadi saksi mengenai percutian penulis bersama rakan-rakannya ke bumi Terengganu Darul Iman. Kami semua memilih sebuah pulau yang tidak asing lagi di Terengganu, iaitu Pulau Perhentian. Pada awalnya, kami bercadang untuk bercuti di kawasan yang berbukit-bukau. Akhirnya, kami berpakat memilih Pulau Perhentian sebagai destinasi pilihan untuk menenangkan fikiran daripada keserabutan otak yang melanda. Bak kata omputeh, 'healing' katanya. Percutian ini selama 3 hari dan 2 malam di Pulau Perhentian tersebut. Pakej yang kami ambil begitu murah, kurang daripada RM500. Alhamdulillah, berpatutanlah harganya. Maklumlah, penulis belum bekerja. Jadi, hendak mengumpul RM500 itu pun macam nak gila sudah. Tapi Alhamdulillah, Allah Maha Pemurah. Dia beri kesempatan kepada penulis untuk melancong bersama rakan-rakan menikmati keindahan ciptaan-Nya. Begitu sayang dan kasihnya Allah terhadap hamba-hambaNya.
Hari Pertama:
Kami tiba di Pulau Perhentian pada jam 1.50 petang bertarikh 17 September. Hari pertama merupakan aktiviti bebas. Oleh hal itu, tiada aktiviti yang menarik dilakukan oleh kami. Hanya berjalan-jalan, mengambil beberapa foto menarik di sekitar Pulau Perhentian, dan sebagainya.
Hari Pertama: Tiba di Jeti Pulau Perhentian
Suasana di malam hari sungguh tenang dan indah. Desiran ombak yang memukul gigi pantai jelas menenangkan hati penulis. Hembusan angin yang lembut mendayu-dayu menghilangkan seketika masalah yang membelenggu. Terdapat beberapa foto yang sempat dirakam pada malam pertama penulis berada di Pulau Perhentian, antaranya ialah:
Hari Kedua:
Seawal jam 10 pagi, kami telah berada di jeti untuk aktiviti snorkeling. Kami akan pergi ke 5 checkpoint yang telah ditetapkan, iaitu turtle point, coral and nemo point, coral garden point, shark point, dan rehat di Fisherman Village. Ini merupakan pengalaman yang menarik kerana sebelum ini, penulis belum pernah melakukan aktiviti snorkeling. Penulis begitu teruja melakukan aktiviti tersebut walaupun pada awalnya agak kekok dan takut untuk melakukannya. Mana tidaknya, penulis tidak begitu pandai berenang dan fobia akan kedalaman air. Alhamdulillah, berkat pertolongan rakan-rakan, penulis dapat juga melihat ciptaan Allah di setiap checkpoint itu. Masha Allah. Sungguh indah sekali ciptaan-Nya. Terdapat beberapa foto yang sempat dirakam sepanjang hari kedua di Pulau Perhentian, antaranya ialah:
Penulis bersama rakan-rakan
Hari Ketiga:
Seawal jam 10 pagi, kami sudah mengosongkan tempat penginapan dan bersiap untuk check-out. Kami tiba di Jeti Pulau Besut pada pukul 12:30 tengah hari.
Alhamdulillah, itulah sedikit sebanyak cerita mengenai percutian penulis bersama rakan-rakan ke Pulau Perhentian. Berharap di lain masa, akan ada lagi siri percutian bersama mereka. Moga di percutian seterusnya, kami akan memilih tempat yang berbukit-bukau pula untuk berkhemah dan merasai suasana di hutan. In shaa Allah.
Comments
Post a Comment