Warisan Budaya: Kemeriahan Festival Pesta Padi Pulau Pinang 4.0
Pulau Mutiara, Pulau Pinang sekali lagi menarik perhatian negara apabila menganjurkan Festival Pesta Padi 4.0. Pesta ini dijalankan di sebuah kampung yang agak terpencil, iaitu Kampung Terus di Pulau Pinang. 22 Julai 2022 menjadi saksi pesta ini kembali dihidupkan selepas ditunda selama 2 tahun ekoran wabak Covid-19 yang melanda semua negara.
Sebelum ini juga, Pulau Pinang telah mengadakan pesta padi ini. Namun begitu, sambutan daripada pengunjung tidaklah sehebat mana. Tetapi, dengan inovasi yang dibawa oleh penganjur, pesta ini berjaya menarik perhatian pengunjung dari setiap negeri di Malaysia. Penulis menjadi saksi lambakan pengunjung yang membanjiri Kampung Terus dari 22 hingga 24 Julai 2022.
Apa yang menarik di Pesta Padi 4.0 ini?
Pesta padi ini mengetengahkan konsep tradisional kepada pengunjung. Antara perkara yang menarik di pesta ini ialah mengadakan acara permainan tradisional seperti memakai kain pelikat ketika bermain bola sepak dalam sawah padi, menangkap ikan dalam sawah padi, dan sebagainya. Acara ini berjaya menambat hati para pengunjung dengan melihat telatah para peserta yang bertanding dalam acara ini.
Selain itu, pesta padi ini juga memberikan ruang kepada para peniaga kecil untuk berniaga sepanjang 3 hari pesta ini berlangsung. Dengan ruang dan peluang yang diberikan oleh penganjur, nasib para peniaga kecil terbela dan mereka berjaya mengutip hasil yang lumayan sepanjang 3 hari tersebut.
Seterusnya, konsep tradisional yang dibawa oleh penganjur berjaya memberi ruang kepada para pengunjung untuk merasai semula kuih-muih tradisional yang semakin ditelan zaman. Mana tidaknya, dengan arus kemodenan yang semakin pesat, perkara yang berkaitan tradisional kian dilupakan. Hal ini kerana, rakyat Malaysia semakin terdedah dan gemar akan makanan daripada barat. Generasi muda tidak mendapat peluang untuk melihat dan merasai kuih-muih warisan negara. Oleh itu, pesta padi ini berjaya mengetengahkan semula makanan-makanan tradisional negara.
Akhir sekali, pesta ini mendapat sambutan yang hangat disebabkan pembinaan arca gergasi dari pelbagai pihak. Keunikan arca ini terserlah kerana ia dihasilkan melalui jerami padi yang dikumpul oleh para petani. Ia berjaya menarik minat pengunjung untuk melihat arca tersebut lalu berswafoto. Penulis juga tidak ketinggalan untuk merakamkan beberapa arca jerami gergasi yang dibangunkan. Lebih menarik lagi, Universiti Putra Malaysia (UPM) juga menghantar satu kumpulan untuk memasuki acara arca jerami gergasi tersebut.
Arca Jerami yang diberi nama 'Ada Padi Masak, Adalah Pipit' yang dihasilkan oleh kumpulan Universiti Putra Malaysia
Terdapat beberapa lagi arca jerami yang menarik yang dihasilkan oleh pihak yang bertanggungjawab, antaranya ialah:
Arca 1
Arca 2
Arca 3
Akhir kata, penulis berharap agar acara ini terus dijalankan setiap tahun dengan penambahan idea serta inovasi yang lebih menarik lagi oleh penganjur.
Comments
Post a Comment